Wednesday, April 24, 2013

Amanat Haji Hadi makan diri


KETIKA kehangatan kempen pilihan raya menuju ke puncaknya, izinkan saya memperkatakan sekali lagi isu berkaitan Amanat Haji Hadi yang nampaknya sejuk tetapi ibarat api dalam sekam kepada umat Islam. Secara senyap ia terus merayap memakan dan memusnahkan perpaduan dan penyatuan umat Islam Malaysia, khususnya di Pantai Timur sejak ia diperkenalkan oleh Haji Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 1981.

Saya yang tinggal di kampung berhampiran merasa situasi dan suasana ini. Sejak tahun berkenaan perpaduan Islam berpecah teruk, berpuak-puak dan saling memusuhi. Sehingga sekarang masih berlaku di merata-rata tempat di Terengganu dan Kelantan.

Perkara ini telah banyak dibentang, diperkata, dikupas dan diulas. Namun sehingga sekarang Hadi Awang dan pengikut Pas masih berpegang teguh kepada amanat ini.

Sebagaimana telah dikupas oleh C.N. Afghani dalam bukunya Kafirkah Aku, saya dan masyarakat Terengganu sendiri mengalami sejak tahun berkenaan bahawa pengikut Pas berpendapat penyokong UMNO atau BN adalah golongan kafir. Ia telah dinyatakan secara terbuka di pentas ceramah, poster dan kain pemidang di merata tempat ketika itu, terutama setiap kali pilihan raya umum.

Sebagaimana kita sedia ketahui, akibatnya berlakulah pulau memulau secara meluas dan terbuka, bersembahyang dua imam dalam satu masjid, dua masjid dalam satu mukim, pernikahan dan penyembelihan orang UMNO sebagai tidak sah, perceraian dan pergaduhan sesama keluarga.
Kemuncaknya ialah peristiwa Memali yang mengorbankan beberapa nyawa pada 19 November 1985. Betapa sedihnya kita kerana ia berlaku di depan mata, melibatkan rakan-rakan dan saudara-mara yang suatu masa dulu begitu akrab, harmoni dan saling berganding bahu apabila ada majlis dan keramaian. Amanat Haji Hadi tiba-tiba menjadikan masyarakat sekeliling kucar-kacir, benci-membenci, berpecah-belah. Sedih dan kecewa melihat fenomena perpecahan ini tanpa cuba diperbetulkan oleh Hadi dan pemimpin Pas.
Kenapa perlu dipalu balik amanat pemusnah ini? Isu ini sebenarnya adalah barah yang masih menular sehingga sekarang. Hadi tidak pernah menarik balik amanat ini, apatah lagi memohon maaf kepada umat Islam Malaysia. Ini semua kerana survival politik Pas walaupun jauh di sudut hati dia tahu amanat berkenaan telah memusnahkan kesatuan, keharmonian dan perpaduan Islam. Mungkin dia sebaliknya bangga berbuat demikian, itu kita tidak tahu.

Amanat ini telah melangkau kuasa pihak berkuasa agama dan dilihat sebagai ibu segala fatwa yang sering dikeluarkan pemimpin Pas seolah-olah berlagak seperti ketua kepada semua mufti yang dilantik oleh Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam. Derhakakah beliau kepada Raja-Raja Melayu?

Apakah intipati utama dalam amanat ini? Hanya kerana satu tohmahan sahaja iaitu UMNO mengekalkan perlembagaan negara yang diibaratkan Hadi sebagai mengekalkan perlembagaan penjajah, perlembagaan kafir dan jahiliah, sebab itu dia menyeru menentang UMNO yang dianggap kalau sekiranya mati, maka ia adalah mati syahid.

Terjemahan yang dibuat pengikutnya ialah UMNO adalah kafir kerana mengekalkan perlembagaan negara. Kafirnya UMNO kerana tidak melaksanakan hukum hudud. Lantas itu dalam beberapa PRU selepas itu, perjuangan hukum hudud dan pembentukan negara Islam dijadikan slogan perjuangan Pas dan dicanang dari satu PRU ke satu PRU.

Allah Yang Maha Berkuasa telah menunjukkan kebenaran dan kebatilan. Sebaik pakatan pembangkang memenangi beberapa negeri pada PRU 2008, Pas telah berubah wajah. Kerana nafsu serakah politik dan perjuangan pembangkang menakluki Putrajaya, Hadi sudah lupa kepada amanat keramatnya sendiri. Dia lupa bahawa rakyat Malaysia bukanlah sebodoh dan sedangkal yang disangka.
Dengan bertuankan kepada DAP, hala tuju politiknya terpaksa diubah. Setelah diugut berkali-kali oleh Karpal Singh dan DAP supaya melupakan hukum hudud dan negara Islam, dalam ketakutan maka Pas secara tiba-tiba menukar wadah perjuangan kepada 'Negara Berkebajikan'. Maka keluarlah hujah baru untuk merasionalkan hala tuju baru ini.

Dalam usaha ini juga, maka timbullah hujah baru Hadi dan Pas bahawa hukum hudud hanyalah 0.0001 peratus daripada perjuangan Islam. Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali, pula dalam kenyataan bersama Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim telah beberapa kali mengulangi bahawa pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud dan negara Islam jika mereka berjaya menawan Putrajaya. Semuanya termeterai secara rasmi apabila pakatan pembangkang melancarkan Buku Jingga.
Pembaca bolehlah membuka Buku Jingga yang dilancarkan pakatan pembangkang sempena Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 di Dewan Mellineum Kepala Batas pada 19 Disember 2010. Dengan jelas, dalam pernyataan 'Dasar Bersama' memaparkan bahawa pakatan pembangkang tetap akan mengekalkan perlembagaan negara sedia ada jika dapat berkuasa nanti. Ini turut dimeterai bersama oleh Hadi Awang selaku Presiden Pas.

Untuk makluman Hadi, Melayu sebenarnya tidak mudah lupa seperti disangka! Ingatkah Hadi, kerana amanat kamu pada tahun 1981 itulah kamu dan pengikut Pas menuduh UMNO kafir semata-mata kerana mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan penjajah dan perlembagaan jahiliah? Sehingga sekarang amanat ini belum ditarik balik.

Maka Allah telah menunjukkan butir-butir kejahilan kamu dan pengikut kamu. Sekarang tiba-tiba kamu membuat perjanjian untuk mengekalkan perlembagaan negara yang telah kamu anggap sebagai perlembagaan penjajah dan perlembagaan jahiliah sehingga menuduh UMNO kafir kerana mengekalkan perlembagaan ini. Sehingga sekarang label ini masih berjalan walaupun tidak serancak dulu gara-gara perubahan hala tuju Pas.

Kini kita pulangkan kembali tuduhan lama terhadap UMNO kepada mereka pula. Apakah jatuh kafir pemimpin dan orang Pas kerana bersetuju mempertahankan perlembagaan negara sekarang (intipati Amanat Haji Hadi) sebagaimana ikrar bersama Hadi dalam Buku Jingga?
Kafirkah orang Pas kerana tidak lagi memperjuangkan hukum hudud dan menegakkan negara Islam? Halalkah penyembelihan orang Pas? Sahkah sembahyang berimamkan orang Pas? Sahkah nikah yang dibuat oleh orang Pas? Hatta, jika ditakdirkan ada orang UMNO mati kerana berlawan dengan orang Pas sekarang adakah dikira mati syahid?

Orang lain tidak boleh jawab persoalan ini kerana tuan punya amanat yang sepatutnya tampil memberi penjelasan. Kalau dulu kata UMNO kafir, apakah Pas sekarang automatik jatuh kafir juga? Sekarang ramai tertanya-tanya untuk menjawab kekusutan ini. Amanat itu bukan sahaja memusnahkan perpaduan Islam tetapi sudah sampai tahap yang boleh menyesatkan.

Kalau Hadi masih waras, rasional, berjiwa besar dan punya kekuatan iman, buanglah sifat ego dan kerakusan nafsu. Seelok-eloknya bertaubat secara terbuka dan tampillah memohon maaf kepada semua umat Islam, khususnya orang UMNO, di atas kemusnahan yang telah berlaku sejak lebih 32 tahun lalu. Allah maha pengampun tetapi kesalahan sesama umat perlu dipohon kepada sesama umat. Selagi hayat masih ada, eloklah mengambil peluang keemasan ini untuk bertaubat dan memohon keampunan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130424/fo_01/Amanat-Haji-Hadi-makan-diri#ixzz2U6eUWmBW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, April 19, 2013

Lagi surat kepada Nik Aziz


Lagi surat kepada Nik Aziz

SEMALAM saya menziarah kubur arwah ibu dan bapa saya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Saya berdoa kepada Allah SWT agar memberkati dan menerima segala amal ibadah mereka selama hayat sebagai orang Islam.
Saya juga memohon kepada Allah SWT supaya doa saya itu diterima-Nya.
Itulah sahaja yang dapat dilakukan oleh seseorang anak kepada arwah ibu bapanya yang telah meninggal untuk kesejahteraan mereka di alam kubur.
Kedua-dua arwah ibu bapa saya ini sewaktu hayatnya adalah orang yang kuat beribadat dan taat kepada ajaran agama Islam.
Semasa saya berdoa di kubur arwah itu, saya teringat kepada kata-kata kekanda Nik Abd Aziz, yang menyatakan bahawa solat orang UMNO tidak mendapat pahala dan orang UMNO membuat masjid bukan kerana Islam sebaliknya mahu menjadi kontraktor (Utusan Malaysia, 8 April 2013).
Sejak muda arwah ibu bapa saya adalah penyokong UMNO di bawah kepimpinan Dato Onn Jaafar dan kemudian Tunku Abdul Rahman.
Arwah ibu bapa saya adalah orang yang bertaqwa, mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah SWT.
Arwah bapa saya adalah seorang guru al-Quran di kampungnya dan arwah ibu sentiasa menjadi isteri yang baik dan taat setia kepada suaminya. Mereka juga mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan mengajar ilmu dunia dan akhirat dengan baik.
Orang kampung sering kali meminta pertolongan daripada mereka. Seingat saya, arwah bapa dan ibu adalah orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam sebaik-baiknya dan semampu yang terdaya oleh mereka.
Di situlah arwah bapa saya mengimamkan sembahyang lima waktu untuk beberapa tahun lamanya sebelum arwah meninggal dunia. Surau itu telah dibina oleh arwah bapa saya bersama orang kampung itu.
Apakah perkataan yang disiarkan dalam akhbar yang tersebut di atas itu sebenarnya telah keluar daripada mulut kekanda Nik Abd Aziz sendiri?
Apabila arwah bapa saya mendirikan surau di kampungnya itu, tiada sesiapa pun menjadi kontraktor pembinaannya.
Sebaliknya orang kampunglah yang bergotong-royong mendirikan surau itu dengan tenaga dan titik peluh mereka sendiri dengan bantuan sedikit kewangan daripada kerajaan.
Saya yakin segala amal ibadah yang telah dilakukan oleh arwah ibu bapa saya itu sepanjang hayatnya adalah hak mutlak Allah SWT yang Maha Besar untuk menentukan sama ada diberikan pahala atau tidak.
Sesiapapun tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan kuasa untuk mengetahui atau menentukan ibadah siapa yang diredai Allah SWT, termasuklah kekandaku Nik Abd Aziz.
Walau setinggi mana pun seseorang manusia itu berasakan dia pandai, ada lagi manusia yang lebih pandai daripadanya. Dalam mengeluarkan kata-kata sebegitu, kekandaku Nik Abd Aziz telah melukakan hati banyak orang.
Ada juga orang Islam yang telah menjadi keliru mengenai status saudara seIslam mereka dalam UMNO kerana telah percaya kepada kata-kata kekanda yang telah tersiar dalam akhbar tersebut.
Ini telah sedikit banyak memecah-belahkan umat Islam kekandaku.
Kalau apa yang saya tulis ini adalah benar setelah kekanda memikirkan semasak-masaknya, maka menjadi wajib bagi kekanda sebagai seorang tuan guru yang dihormati orang ramai untuk membetulkanya.
Saya tidak memusuhi parti Pas kekandaku, tetapi saya sangat tidak berkenan dengan orang yang memecah-belahkan Islam dan yang menghalang agama Islam daripada terus dinobatkan sebagai agama rasmi Tanah Melayu ini, seperti yang telah cuba dilakukan oleh beberapa ahli DAP.
Semoga kekanda sentiasa diberi fikiran yang waras dan bijaksana oleh tuhan kita Allah SWT.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130416/fo_01/Lagi-surat-kepada-Nik-Aziz#ixzz2TdgqcuYP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SURAT TERBUKA UNTUK NIK AZIZ....


Surat terbuka kepada Nik Aziz

YAB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Semoga berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dilindungi Allah SWT dari sebarang keburukan dan malapetaka.

2. Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri saya. Saya adalah bekas pensyarah di sebuah universiti tempatan dan memilih bersara awal ketika berumur 40 tahun. Sejak itu saya menceburi dunia bisnes sendiri. Pada masa yang sama saya juga bergiat cergas dalam beberapa NGO berkepentingan Melayu, Islam, bumiputera dan negara.

3. Pertama kali saya berpeluang berjumpa dan berbual secara santai dengan YAB Tok Guru ialah sekitar tahun 1985/6 ketika mengikuti tokoh dan pemimpin UMNO yang terkenal dan dihormati di Kelantan dan juga di Malaysia, berkempen. Saya tidak ingat di kampung mana kita bertemu tetapi saya ringkaskan cerita pertemuan kita itu.
Kebetulan YAB Tok Guru berkunjung ke kampung yang sama, juga untuk berkempen. Setibanya di tempat YAB Tok Guru hendak berkempen, Tok Guru dimaklumkan oleh pengikut dan penyokong Tok Guru bahawa tokoh UMNO yang saya maksudkan itu juga ada di kampung yang sama dan juga sedang berkempen.
Mendengar nama tokoh UMNO itu Tok Guru terus memberitahu para penyokong dan pengikut Tok Guru untuk tunggu sebentar bagi membolehkan Tok Guru datang ke tempat kami berkempen untuk berjumpa dan bertanya khabar dengan tokoh UMNO berkenaan.

4. Setibanya di rumah kami sedang berkempen, Tok Guru terus naik dan bersalaman dengan kami semua. Tok Guru bersalaman dan berpelukan (cara sahabat dalam Islam berpelukan) dengan tokoh UMNO berkenaan. Begitu mesra sekali walhal ketika itu masing-masing sedang berkempen, atas tiket parti yang berlainan, Pas lawan UMNO. Akan tetapi sedikit pun tidak nampak perbezaan atau permusuhan di antara Tok Guru dengan tokoh UMNO itu serta lain-lain hadirin, sebaliknya begitu akrab persahabatan yang ditunjukkan.
Selepas kita bertiga dan beberapa orang lain bersama makan laksam dalam satu hidangan, Tok Guru beredar untuk pergi berkempen.

5. Saya yang begitu muda ketika itu dan bukan di kalangan orang politik sungguh kagum melihat suasana itu dan berkata dalam hati saya, 'sungguh matang orang Melayu Islam berpolitik'. Sejak itu saya jarang sekali terlibat secara aktif dalam politik kerana tiada apa yang mahu dibimbangkan mengenai gelagat politik, sekalipun PRU tahun 1999 agak mencemaskan kerana faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

6. Namun, selepas PRU-12 pada 8 Mac 2008, saya kembali cemas dan tanpa disedari terheret semula ke dalam gelanggang politik, lebih sebagai kerabat NGO. Ini kerana PRU-12 tanpa disedari telah menyebabkan parti-parti pembangkang, menjadi terlalu ghairah untuk memperoleh kemenangan lebih besar dalam PRU-13 yang akan datang, sekalipun ia hanya akan berlaku 5 tahun lagi.

7. Mulanya saya bertanggapan keghairahan Pas untuk menang lebih besar hanyalah keghairahan biasa, maka apa salahnya Pas memasang angan-angan untuk memperoleh kemenangan lebih besar dalam PRU-13 akan datang.
Pun begitu, masa berlalu pantas dan keghairahan itu mula menampakkan tanda-tanda kurang sihat terhadap kerenggangan sesama Melayu apabila perbalahan politik di antara Melayu dalam UMNO dan Melayu dalam Pas yang dilagakan oleh Melayu dalam PKR makin menampakkan tanda bahawa malapetaka amat buruk akan menimpa bangsa Melayu kerana perpecahan Melayu kian jelas dan sukar untuk dibendung.
Itu sebabnya sejak tahun 2008 lagi banyak usaha dibuat oleh pihak ketiga di kalangan penggerak NGO-NGO Melayu-Islam untuk meredakan perbalahan ini dan merapatkan jurang perselisihan di antara mereka.

8. Pernah saya mengikuti beberapa rombongan cendekiawan Melayu terkenal mengadap beberapa DYMM Raja-Raja Melayu meminta sultan-sultan memanggil pemimpin politik terutama UMNO dan Pas duduk bersama dan meredakan pergeseran sesama mereka.
Sebagai seorang Melayu beragama Islam dan sayangkan bangsa saya sama seperti saya sayangkan agama Islam saya dan sayangkan negara ini, saya telah melakukan apa yang wajar lakukan, demi perpaduan Melayu, pengukuhan Islam dan kesejahteraan Negara ini.

9. Kini tarikh PRU-13 sudah ditetapkan dan masanya amat singkat untuk jambatan penyatuan Melayu Islam dibina-kukuh agar Melayu tidak berpecah sekalipun ada yang kekal memilih Pas dan ada yang bakal memilih UMNO untuk ke Putrajaya.
Semua ini akan terjadi dengan baik sekiranya pemimpin tertinggi kedua-dua parti UMNO dan Pas bertanding dengan cara yang sihat.
Jika dilihat pada 'peperangan' semasa dalam kempen menjelang PRU-13 pergeseran di antara Pas dan UMNO semakin meruncing dan semacam mereka sudah berpatah arang berkerat rotan, sisa-sisa harapan yang masih ada ialah beristighasah dan bermunajat meminta pertolongan Allah SWT agar dibuka hati para pemimpin Melayu dalam Pas dan UMNO untuk berpolitik secara Islam yang sebenarnya.

10. Jika pada tahun 1985 saya begitu kagum dan bangga dengan nilai budaya dan peradaban yang Tok Guru tunjukkan kepada rakan saya tokoh pemimpin UMNO yang saya maksudkan, sekali lagi, kali ini saya menoleh dan memandang tepat kepada Tok Guru untuk menunjukkan teladan yang sama.

Saya amat yakin Tok Guru menerima saranan saya ini dengan hati yang baik, ikhlas dan diberi petunjuk yang betul oleh Allah SWT. InsyaAllah.
Sekian, wabillahi tawfiq wal hidayah, wassalamualaikum WBT.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130415/fo_01/Surat-terbuka-kepada-Nik-Aziz#ixzz2Tdb153E9
© Utusan Melayu (M) Bhd